Polis Kelantan menahan tiga beranak susulan penemuan sepucuk pistol di kediaman mereka di Lorong Jalan Kaltom, Kampung Pauh, Pasir Mas.
Pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 68 dan 61 tahun itu ditahan bersama anaknya yang juga seorang penyeludup berusia 34 tahun selepas menemui sepucuk pistol jenis Revolver dan lima butir peluru di bahagian belakang rumah mereka.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, anggota Task Force dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pergi ke rumah berkenaan jam 8.30 malam untuk membuat pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan di kawasan rumah polis menemui pistol, peluru serta komponen senjata api yang disorokkan di dalam pasu bertutup dengan plastik kuning, di bahagian belakang rumah”.
“Suspek yang menjalankan perniagaan rokok, beras serta pakaian seludup bersama kedua-dua orang tuanya, kemudian dibawa ke IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut”.
Polis turut merampas tiga telefon bimbit serta dua jenis kereta jenis Suzuki Swift dan Volkswagen Golf. Hasil semakan, penyeludup berkenaan mempunyai 17 rekod lampau yang melibatkan kes penyalahgunaan dadah, mencuri kenderaan, cabul serta melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Bapa suspek pula yang juga pesara guru, menafikan pistol serta peluru terbabit miliknya dan tidak tahu mengenainya”.
“Kejadian ini berkemungkinan besar tidak membabitkan suami isteri terbabit, namun pihak kami terpaksa membawa mereka ke balai untuk membantu siasatan”.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.