Polis Daerah Kuala Terengganu menerima maklumat tentang penemuan rangka dan serpihan tulang manusia di tepi Pantai Batu Burok 2, jam 10.10 malam tadi.
Menurut Ketua Polis daerah itu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, maklumat itu diberitahu oleh orang awam melalui panggilan telefon dan satu laporan polis telah dibuat untuk siasatan lanjut dijalankan.
Apabila tiba untuk menjalankan siasatan, polis mendapati kawasan itu gelap dan tiada sumber pencahayaan. Selepas pencarian dijalankan, polis menemukan 34 ketulan dan serpihan tulang telah ditemui dan dikumpulkan untuk siasatan lanjut.
Ujarnya, siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) di tempat kejadian yang dilakukan bersama Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu.
Tempat kejadian adalah dalam kawasan semak, di tepi longkang kering tidak berair iaitu di tepi pantai, dengan jarak 40 meter dari gigi air semasa air pasang.
Tambahnya, lokasi penemuan itu adalah di belakang kawasan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ditinggalkan dan tidak lagi dihuni.
Tulang yang ditemukan itu dilaporkan dihantar ke Unit Patologi dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan kawasan sekitar sama ada ia perkuburan lama atau milik persendirian.
Usaha mengesan identiti mangsa bergantung kepada hasil pemeriksaan perubatan dan kimia seperti jantina, tempoh kematian dan maklumat lain-lain yang akan diperoleh kemudian.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.