Tular sejak semalam satu video berdurasi 14 saat memaparkan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu yang dipasang pelekat bertulisan bahasa rasmi Israel, Hebrew dengan maksud “Malaysia di tangan kami”, mencetuskan perhatian dan kebimbangan ramai pengguna media sosial.
Susulan penularan video tersebut, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan mendapati bahawa kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, laporan berkenaan diterima sekitar jam 3.32 petang semalam daripada seorang lelaki yang juga pegawai khas agama kepada Ketua Menteri Melaka selepas menonton video berkenaan.
Siasatan awal mendapati tulisan terbabit membawa maksud ‘Malaysia adalah rumah kita / Malaysia di tangan kami’ dan kenderaan didaftarkan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam.
Tambah beliau, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi.
Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penyebaran video tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.