Ramadan bukan sekadar mengajar kita untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengajar kita untuk mengawal emosi serta menjaga hubungan sesama manusia.
Namun, dalam bulan yang penuh keberkatan ini, beberapa insiden kurang menyenangkan telah berlaku.
Terbaru, tular di media sosial mengenai satu lagi kes pergaduhan yang melibatkan dua penunggang motosikal di sebuah persimpangan lampu isyarat.
View this post on Instagram
Menerusi video itu, ia memaparkan seorang lelaki dilihat berada dalam keadaan berang sehingga bertindak memukul kepala seorang penunggang motosikal.
Memetik laporan Harian Metro, polis sedang menyiasat insiden terbabit yang berlaku di persimpangan lampu isyarat di Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok dan mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa.
Mangsa menunggang motosikal dan berhenti di persimpangan lampu isyarat itu sebelum berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki tidak dikenali yang turut menunggang motosikal dan berhenti dipersimpangan itu.
Mangsa dipukul beberapa kali di bahagian kepala oleh lelaki berkenaan sebelum suspek beredar dari lokasi kejadian.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.