Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan seramai 50 individu akan dipanggil pihak polis bagi membantu siasatan berhubung program motivasi rumah tangga kontroversi yang tular baru-baru ini.
Kesemua individu yang akan dipanggil dalam masa terdekat ini termasuklah penganjur dan peserta program diberi nama eHati yang didakwa mengandungi unsur lucah dan jelik.
Siapa dan bila mereka akan diambil keterangan, saya tak dapat kongsikan lagi. Keterangan daripada pasangan suami isteri (penganjur program) akan diambil terlebih dahulu.

Terdahulu, program yang dianjurkan di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam telah mencetuskan kemarahan dan menjadi bualan di media sosial selepas beberapa bekas peserta tampil membuat pendedahan mengejutkan itu.
Mereka mendakwa telah diminta melakukan aksi tidak senonoh dan diberi minum sejenis air diberi nama ‘Air Piya’ yang didakwa mengandungi bahan mengkhayalkan.
Hussein turut mengulas tentang air tersebut dan berkata sampel belum dihantar ke makmal forensik dan masih dalam proses siasatan.