Polis Menahan 7 Remaja Lelaki Berkenaan Kes Kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

Trending

Polis Menahan 7 Remaja Lelaki Berkenaan Kes Kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

Polis menahan tujuh remaja lelaki bagi membantu siasatan kes Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, di sini, yang terbakar pada Khamis lepas.

Advertisement

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

“Ya, saya sahkan kesemua penangkapan berkenaan,” katanya ringkas.

Amar Singh berkata maklumat lanjut mengenai penahanan itu akan dibuat pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dijadualkan pada 11 pagi esok.

Penahanan mereka, yang berumur dalam lingkungan 12 hingga 18 tahun, dipercayai untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya akan menyiasat setiap aspek termasuk unsur khianat bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Maklumat mengenai penahanan tujuh remaja lelaki itu tular di laman sosial hari ini.

Tragedi ngeri kebakaran pada 5.15 pagi Khamis lepas meragut nyawa 21 pelajar dan dua warden, yang juga guru di pusat tahfiz berkenaan.

Memetik sumber, penahanan itu dibuat hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah stesen minyak di Jalan Dato Keramat.

Katanya semua tujuh suspek berusia antara 11 hingga 18 tahun itu ada yang masih bersekolah dan ada yang tidak bersekolah.

“Polis juga merampas baju, seluar dan motosikal yang dimiliki suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur malam ini.

Dengan tangkapan itu juga katanya polis percaya kes berkenaan sudah diselesaikan.

Terdahulu media melaporkan rakaman CCTV menunjukkan terdapat kelibat dua lelaki menaiki motosikal membeli minyak petrol jam 1.30 pagi, beberapa jam sebelum kebakaran pusat tahfiz berkenaan.

Kata Amar Singh, polis mendapati dua tong gas yang ditemui di luar pintu asrama berkenaan dibawa dari tingkat bawah.

Difahamkan suspek dipercayai sengaja mengunci pintu bilik asrama sebelum meletakkan tilam sebagai penghadang, sebelum menghalakan muncung tong gas ke arah pintu bilik asrama pelajar dan guru terbabit.

Mereka kemudian menyalakan api dengan bantuan minyak petrol.

Dalam kejadian awal pagi 14 September itu 21 pelajar dan dua guru tahfiz meninggal dunia dan sejumlah yang lain cedera apabila sebahagian daripada bangunan Darul Quran Ittifaqiyah terbakar.

Pada awalnya pihak berkuasa menjangkakan insiden itu berpunca daripada litar pintas namun siasatan lanjut mendapati wujud unsur khianat di sebaliknya.

Ia adalah kejadian kedua terburuk membabitkan pusat pengajian Islam di negara ini selepas kebakaran bangunan asrama perempuan Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah dijilat api di Padang Lumat, Yan di Kedah pada Pada 22 September 1989.

Insiden malang itu mengorbankan nyawa 27 pelajar.

#Update Sidang Media

Enam daripada tujuh suspek positif dadah, dua suspek ada rekod kesalahan lampau – Ketua Polis KL

Motif bakar tahfiz berpunca ejek mengejek antara dua pihak – Ketua Polis KL

Kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 435 sebab khianat guna api – Ketua Polis KL

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...