Polis mengesahkan menerima laporan daripada penyanyi Nubhan atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahmad, 39, berhubung dakwaan mengeluarkan barangan milik bekas isterinya dari sebuah rumah di Senawang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Azahar Abdul Rahim, berkata penyanyi itu membuat laporan polis pada 29 Disember lalu bagi memaklumkan bahawa dia telah pergi ke rumah berkenaan untuk mengeluarkan barangan milik bekas isterinya, Dr. Fie, sebelum dihantar ke rumah bekas mentuanya.
“Pada 1 Januari lalu, wanita itu (Dr. Fie) pula membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Nubhan yang memindahkan barang kepunyaannya tanpa keizinan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azahar, siasatan awal telah dijalankan terhadap kedua-dua laporan polis tersebut dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) sebelum dirujuk kepada mahkamah syariah untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, media melaporkan Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr. Fie telah membuat laporan polis berhubung isu barangan peribadinya yang didakwa dipindahkan tanpa sebarang notis atau kebenaran daripadanya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
