Kewujudan sindiket manipulasi platform perbankan dalam talian yang mewujudkan laman sesawang palsu menyerupai Maybank2u berjaya dikesan pihak polis.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, pihaknya telah menerima empat laporan berkaitan kes sedemikian membabitkan kerugian RM22,300.
“Siasatan mendapati mangsa menerima emel kononnya dihantar pihak Maybank menyatakan akaun bank mereka mempunyai masalah keselamatan dan mangsa diminta menekan pautan yang disertakan bersama emel terbabit”.
Tambahnya, mangsa dikehendaki mengemas kini butiran peribadi, kata laluan serta nombor telefon melalui laman sesawang palsu itu, kemudian mereka mendapati wang dalam akaun berkurangan.
Kes terbaru menunjukkan mangsa menerima pautan laman sesawang palsu melalui iklan cabutan bertuah Maybank di Facebook.
“Orang ramai juga perlu berhubung dan mendapatkan pengesahan pihak bank sekiranya menerima emel yang meminta mereka mengemaskini maklumat peribadi melalui laman sesawang bank Maybank2u”.
Orang ramai boleh berhubung dengan ‘Scam Response Center’ JSJK di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai sebarang kemusykilan atau keraguan berkaitan sesuatu urusan yang disyaki ada kaitan dengan penipuan.