Sejak minggu lalu, timbul kontroversi apabila bekas kakak ipar kepada pempengaruh Kim Seri iaitu Nor Seri Azlina mendakwa bahawa adiknya, bekas suami pempengaruh tersebut, telah ditahan oleh pihak polis.
Susulan itu, pihak polis telah mengesahkan penahanan bekas suami pempengaruh itu bagi tujuan membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan membabitkan pakej pelancongan ke Korea Selatan.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka dan ia membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, IPD Kota Tinggi, IPD Seri Alam, IPD Iskandar Puteri, IPD Muar dan IPD Kluang.
Kertas siasatan terhadap suspek akan dikemukakan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk nasihat selanjutnya.
Menurutnya, suspek adalah pemilik kepada akaun syarikat Cikgu Kimchi Trading yang digunakan untuk menerima pembayaran daripada mangsa yang terpedaya dengan tawaran untuk melancong ke Korea.
Kes kini disiasat di bawah kesalahan tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kontroversi itu mula tercetus selepas beberapa pelanggan mendakwa mereka telah ditipu untuk membeli pakej pelancongan lima hari ke Seoul yang berharga RM4,000 setiap satu.
Mangsa juga mendakwa bahawa selepas membuat pembayaran, mereka tak menerima perkhidmatan yang dijanjikan mahupun bayaran balik.
Difahamkan 24 laporan telah dibuat terhadap pempengaruh berkenaan, dengan jumlah kerugian menghampiri RM500,000.