Pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya sekali lagi berdepan gangguan perkhidmatan petang semalam (3 April), kali ini akibat satu insiden kemalangan di stesen LRT Abdullah Hukum, tempoh hari.
Seorang wanita dilaporkan terjatuh ke atas landasan, menyebabkan operasi tren terpaksa dihentikan serta-merta.

Keadaan menjadi sesak apabila orang ramai mula berkumpul susulan penggantungan sementara perkhidmatan, manakala stesen turut dikosongkan bagi memberi laluan kepada pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa dari landasan.
Wanita tersebut mengalami kecederaan pada bahagian badan dan dahi sebelum segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Susulan kejadian itu, video orang ramai serta gambar mangsa mula tular di media sosial, dengan pelbagai spekulasi timbul mengenai punca kejadian. Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tergelincir ketika sedang menunggu tren.
Namun, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian tampil menjelaskan situasi sebenar melibatkan mangsa berusia 39 tahun itu.

Menurut laporan China Press, Ketua Polis Daerah Brickfields, Hoo Chang Hook berkata wanita berkenaan memaklumkan kepada polis bahawa dia berasa pening sebelum terjatuh ke landasan. Kenyataan itu diberikan ketika dia dalam perjalanan ke hospital.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 6.19 petang dan tiba di lokasi lima minit kemudian. Pasukan penyelamat mendapati mangsa berada di bawah tren sebelum berjaya dikeluarkan.
Dalam perkembangan sama, Rapid Rail memaklumkan bahawa perkhidmatan tren telah kembali beroperasi seperti biasa selepas operasi menyelamat selesai.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
