Polis kini sedang mengesan dua daripada tiga penunggang motosikal berkuasa tinggi yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur, dekat Bentong, pagi semalam.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kejadian berkenaan dikesan selepas tular satu video di media sosial pada jam 8 malam tadi.
View this post on Instagram
Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku jam 9.45 pagi tadi apabila motosikal terbabit hilang kawalan, tergelincir dan terbabas ke longkang di bahu kiri jalan.
Seorang penunggang yang dapat dikesan memaklumkan cedera di kaki kanan, manakala dua lagi belum dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Difahamkan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kini sedang mengesan penunggang terbabit untuk tampil membantu siasatan.
Pihak polis sudah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Zaiham turut memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.
Pada masa sama, beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang menjadikan laluan terbabit seperti litar lumba.
Polis Bentong akan menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan lokasi dan laluan berkenaan tidak sesekali dijadikan seperti litar lumba oleh pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.