Seorang lelaki warga Pakistan kini menjadi buruan pihak berkuasa selepas melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh ketika berada dalam tahanan semalam. Kes ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi memandangkan latar belakang kesalahan serius yang dikaitkan dengannya.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Mohd Hafiz Muhammad Nor, memaklumkan bahawa suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, dan kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna jingga serta seluar panjang hitam.

Menurut beliau, lelaki itu sedang ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah beberapa peruntukan undang-undang serius, termasuk Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 14 (d) dan (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam kenyataannya, beliau menegaskan:
Polis menasihati orang awam supaya lebih berhati-hati memandangkan banduan ini mempunyai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Sehubungan itu, orang ramai diminta agar sentiasa berwaspada dan tidak mengambil mudah aspek keselamatan diri serta keluarga.

Pihak polis turut memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai lokasi suspek untuk segera tampil membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor C. Muhendran di talian 010-4304383 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222. Orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam masa yang sama, pihak berkuasa menasihatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi. Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh mengganggu operasi polis, malah berpotensi menimbulkan kegusaran awam. – AWANI
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
