Orang ramai dinasihatkan tidak membuat tinjauan rumah ke rumah semasa hari raya Aidiladha pada hari esok kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemeriksaan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Menurut laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata pemeriksaan secara rawak itu antara kaedah bagi membantu kerajaan mengawal penularan jangkitan COVID-19.
“Ya, kita akan buat pemeriksaan mengejut. Perkara itu akan dibuat secara umum dan rawak,” katanya.
Sebelum itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam satu sidang media, pihak PDRM akan membuat pengumuman sama ada mereka akan membuat pemeriksaan rumah ke rumah ketika sambutan Aidiladha.
Perkara ini akan diputuskan oleh PDRM oleh kerana tindakan penguatkuasaan pematuhan prosedur SOP PKP berada di bawah bidang kuasa pasukan keselamatan itu.
Pada masa yang sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan mengenai isu ziarah menziarahi boleh berbuat demikian kepada pihak polis.