‘Pocket Rocket Man’ Azizulhasni Awang akan menyertai Kejohanan Trek Dunia di London, Britain minggu hadapan dengan senyuman apabila beliau kini kembali ke ranking No.1 dunia bagi acara keirin.
Azizulhasni yang kini berusia 28 tahun berada di kedudukan pertama selepas ranking dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk acara keirin keluar dengan beliau mengumpul 508 mata secara keseluruhannya.
Ini tidak termasuk mata yang beliau sendiri kumpul pada Kejohanan Asia baru- baru ini di mana Azizulhasni berjaya mendapat tempat ke-3.
Azizulhasni hanya 4 mata di depan juara dunia, Francois Pervis dari Perancis. Kiwi Edward Dawkins, pemenang pingat perak Kejohanan Trek Dunia tahun lepas pula di tempat ke-3 dengan 494 mata.
Ini adalah kali kedua Azizulhasni mendapat ranking No.1 dunia; sebelum ini ialah pada tahun 2010 lalu.
“Ia adalah satu penghargaan besar buat diri saya dan juga negara apabila berada di ranking No.1 pada tahun Olimpik ini. Ia adalah hasil dari usaha keras saya semasa latihan dan juga pertandingan,” kata Azizul.
Azizul berharap dapat mengekalkan posisi teratas itu sehingga sukan Olimpik musim panas di Rio De Janeiro, Brazil pada Ogos nanti.
“Saya memenangi pingat gangsa di Kejuaraan Dunia di Paris tahun lepas. Ia akan menjadi satu rangsangan untuk pingat emas di Olimpik sekiranya saya berjaya berada di atas podium di London nanti,” tambah Azizul yang sudah layak untuk acara Keirin di Olimpik Rio nanti.
Tahniah diucapkan buat Azizul dan semoga impian beliau untuk membawa pulang pingat emas di sukan Olimpik Rio tercapai.
sumber : mynewshub