Impian Amir Raja Lawak agar Datuk Seri Anwar Ibrahim datang berkunjung ke premis kedai makannya tercapai apabila Perdana Menteri itu hadir meluangkan masa kira-kira 10 minit di kedai ayam gorengnya hari ini.
Difahamkan, Anwar Ibrahim telah singgah ke premis yang terletak di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan itu sekitar jam 4 petang.
Kehadiran beliau disambut mesra pelawak dan usahawan berusia 36 tahun itu dan ketika meluangkan masa bersama, Anwar sempat bertanyakan khabar bapanya dan turut bertanya tentang isu gaji bayaran tertunggak yang tular sebelum ini.
Tambah Amir, Perdana Menteri tersebut turut memberikan kata-kata semangat buat dirinya dan turut memberikan sumbangan kewangan kepadanya.
PM kata saya perlu sabar. InsyaAllah semua akan baik-baik sahaja. Kehadiran beliau bersama Menteri Besar memberi semangat untuk saya terus kuat menghadapi cabaran hidup.

Ujar Amir, dia akan menggunakan wang sumbangan tersebut untuk membantu keluarga termasuklah membeli ubat-ubatan buat bapanya yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selepas menjalani pembedahan kali kedua akibat kanser usus.