“PM Tepi” Masih Dibenarkan. Syaratnya, Peniaga Perlu Papar 8 Kriteria Ditetapkan KPDNKK

Trending

“PM Tepi” Masih Dibenarkan. Syaratnya, Peniaga Perlu Papar 8 Kriteria Ditetapkan KPDNKK

Peniaga dalam talian wajib papar lapan kriteria perniagaan online di bawah Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Advertisement

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, jika kesemua kriteria telah pun dipaparkan, tidak menjadi masalah untuk mereka ‘PM tepi’ dengan pembeli bagi penjelasan lanjut.

“Tak salah ‘PM tepi’ tetapi peniaga online wajib paparkan lapan maklumat ini iaitu nama penjual atau syarikat, harga perlu dibayar, nombor pendaftaran perniagaan, maklumat untuk dihubungi, keterangan produk, kaedah pembayaran, terma dan syarat serta anggaran masa penghantaran.

Peniaga perlu mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan memaparkan maklumat seperti berikut:

1. Harga perlu dibayar
2. Nama penjual atau syarikat
3. Nombor Pendaftaran Perniagaan
4. Maklumat untuk dihubungi seperti nombor telefon atau alamat atau emel
5. Keterangan produk
6. Kaedah pembayaran
7. Terma dan syarat
8. Anggaran masa penghantaran

Arahan ini bukan berniat menyusahkan peniaga tetapi bertujuan melindungi pengguna. ‘PM tepi’ ini tiada masalah asalkan lapan perkara ini ada. Ini maklumat asas urus niaga atas talian.

“Jika semua ini dipaparkan kemudian peniaga dan pelanggan nak ‘PM tepi’ untuk penjelasan lanjut atau tawar menawar, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Peraturan itu telah digubal pada 1 Julai 2013 tetapi masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya kerana mahu memberi ruang bagi peniaga online membiasakan diri sebelum harus mematuhinya.

“Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk dilaksanakan kerana ia bertujuan mengawal selia urus niaga jual beli online. Hal ini dirasakan perlu kerana perniagaan online adalah urusan maya yang bermaksud pembeli tidak boleh menyentuh barang atau perkhidmatan itu secara fizikal, jadi peniaga perlu menjelaskan segala maklumat yang perlu diketahui oleh pelanggan dan tidak perlu ‘PM tepi’ untuk tahu perkara-perkara asas,” ujarnya lagi.

KPDNKK dalam pada itu melaporkan, banyak laporan diterima membabitkan kes penipuan pengguna pada tahun 2012 dan tahun sebelumnya.

Contoh penipuan terjadi ialah beli telefon bimbit tetapi yang sampai pada pembeli adalah lesung batu. Paparan harga yang tidak jelas telah membuat pengguna keliru dan tertipu.

Oleh itu, peraturan berikut segera dilaksanakan untuk melindungi pengguna dan menetapkan etika dalam perniagaan online.

Peniaga online yang didapati bersalah dan ingkar dengan peraturan yang ditetapkan boleh didenda RM50,000 atau tiga tahun penjara ke atas individu dan RM100,000 bagi pertubuhan.

Sumber : Sinar Harian Online

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...