Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang memintas konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) ketika dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurut beliau, kapal yang membawa orang awam tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan penting untuk Gaza berdepan intimidasi dan paksaan oleh tentera Israel.
Anwar menegaskan tindakan rejim Zionis itu membuktikan mereka tidak menghormati hak rakyat Palestin mahupun suara masyarakat antarabangsa, sedangkan misi GSF melambangkan solidariti, belas kasih dan harapan bagi meringankan penderitaan penduduk Gaza.
Malaysia akan menggunakan semua kaedah sah bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khasnya membabitkan warganegara Malaysia.
Maruah dan keselamatan rakyat Malaysia adalah keutamaan mutlak dan kami tidak akan membiarkan ia dikompromi tanpa sebarang tindakan.
Setakat jam 6 pagi Khamis waktu Malaysia, lapan rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF dilaporkan ditahan selepas kapal mereka dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa.
Antara yang ditahan ialah penyanyi Zizi Kirana atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil yang menaiki kapal Huga. Turut ditahan ialah Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil di atas kapal Alma, serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli di kapal Sirius.
Bukan itu sahaja, aktivis hak asasi manusia terkenal dunia, Greta Thunberg, turut dilaporkan ditahan selepas beberapa kapal flotila dipintas tentera laut Israel pada malam Rabu.
Menurut Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), sembilan kapal kini berada pada status “diserang” manakala 13 lagi menghantar isyarat “kecemasan”.
Anwar menegaskan Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang terus dinafikan hak asasi mereka.
“Kami tidak akan berhenti menuntut pengakhiran kepada ketidakadilan dan penindasan yang berlarutan selama beberapa generasi,” tegasnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.