Semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan disifatkan sebagai berdaftar di bawah lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kelas (ASP(C)) bermula 1 Januari 2026, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa pelaksanaan itu dibuat melalui Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membolehkan pendaftaran lesen dilakukan melalui pengetepian formaliti tertentu.

Menurut MCMC, langkah tersebut bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
Pendekatan itu juga selaras dengan kerangka pelesenan baharu yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025, bagi memperkukuh tahap akauntabiliti serta pematuhan platform terhadap undang-undang Malaysia.
Selain itu, MCMC menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan turut bertujuan memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak dan institusi keluarga.
Pelaksanaan Peruntukan Deeming tersebut melibatkan platform yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, dan hanya akan berkuat kuasa selepas tamat tempoh pendaftaran sedia ada bagi penyedia perkhidmatan yang telah berlesen.
Dalam masa sama, MCMC menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan terlibat akan terus beroperasi menggunakan platform global masing-masing seperti biasa, selaras dengan amalan antarabangsa dalam pengawalseliaan platform dalam talian berskala besar.
Menurut kenyataan itu lagi, MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memperkukuh tahap keselamatan dalam talian demi manfaat semua pengguna di Malaysia.
Selainitu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
BACA:

