PhD Di Sebalik Tirai Penjara : Dipukul Dan Dieksploitasi, Ini Kisah Hidup Dr Malik Yatam

Kehidupan

PhD Di Sebalik Tirai Penjara : Dipukul Dan Dieksploitasi, Ini Kisah Hidup Dr Malik Yatam

Di sebalik jeriji besi yang sering dikaitkan dengan hukuman dan penyesalan, program pendidikan dalam penjara kini terbukti semakin berkesan sebagai agen perubahan. Inisiatif ini bukan sahaja membentuk sikap dan pemikiran prospek, malah membuka peluang baharu untuk mereka membina kehidupan lebih bermakna selepas dibebaskan.

Hakikatnya, stigma sebagai bekas prospek atau banduan masih wujud dalam masyarakat. Label tersebut sering sukar dipadam, sekali gus menjejaskan peluang kedua buat individu yang ingin berubah. Namun pendidikan membuktikan sebaliknya,  ia mampu mencetuskan transformasi menyeluruh, membina keyakinan diri, mengukuhkan institusi keluarga dan menyumbang secara positif kepada pembangunan masyarakat.

Advertisement

malik yatam

Kisah Malik Yatam, 39, menjadi bukti jelas bagaimana pendidikan mampu mengubah takdir. Bekas prospek ini pernah menyangka masa depannya gelap dan berakhir di sebalik jeriji besi, namun akhirnya mencipta sejarah sebagai individu pertama dalam penjara Malaysia yang berjaya menggenggam ijazah doktor falsafah (PhD).

Kira-kira 25 tahun lalu, Malik yang ketika itu berusia 14 tahun mengambil keputusan berhijrah dari Sabah ke Semenanjung demi membantu keluarga selepas terpaksa berhenti sekolah akibat kesempitan hidup. Namun, perjalanan hidupnya berubah secara drastik apabila dia menjadi mangsa penipuan ejen pekerjaan dan seterusnya mengalami eksploitasi serta penderaan majikan.

Tragedi yang menimpa mengheret Malik ke penjara pada usia terlalu muda. Dia menjalani hukuman selama 24 tahun sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS), satu tempoh yang membuatkannya merasakan impian dan masa depan telah musnah.

Malik yatam

Namun segalanya berubah apabila Malik menyedari pendidikan adalah satu-satunya jalan untuk mengubah hidup walaupun ketika itu dia tidak mempunyai tarikh pembebasan. Tanpa guru dan kelas formal, dia memulakan pembelajaran dengan meminjam buku rakan. Usaha itu membuahkan hasil apabila dia menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian pada 2006 di Penjara Kajang, diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setahun kemudian.

Tekadnya tidak terhenti di situ. Malik meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda sebelum dianugerahkan PhD dalam Pentadbiran Perniagaan, sekali gus mencipta sejarah sebagai prospek pertama memperoleh ijazah tertinggi itu ketika masih menjalani hukuman.

Mengimbau perjalanan hidupnya, Malik mengakui keputusan meninggalkan kampung halaman tanpa menghiraukan nasihat ibu bapa menjadi titik perubahan hidupnya. Namun di sebalik keperitan, pendidikan memberinya harapan baharu.

Malik yatam

“Saya belajar bukan kerana mahu bebas semata-mata. Walaupun kebebasan itu impian, ilmu yang saya cari adalah untuk dibawa sampai akhirat. Saya mahu berkongsi ilmu dengan prospek lain supaya mereka juga berubah dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Malik, pendidikan bukan sekadar sijil, tetapi alat untuk memulihkan maruah dan membina keyakinan diri. Kajian antarabangsa juga menunjukkan pendidikan berupaya mengurangkan kadar residivisme atau jenayah berulang dalam kalangan bekas prospek.

“Ilmu membentuk pemikiran dan sikap. Ia mengajar kita membezakan yang baik dan buruk. Stigma masyarakat mungkin wujud, tetapi ia boleh berubah apabila kita benar-benar nekad untuk berubah,” katanya yang memeluk Islam pada 2002.

Malik turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan Jabatan Penjara Malaysia, pihak universiti, jabatan agama serta individu prihatin termasuk Hartini Zainuddin, yang membantu membiayai pengajiannya. Elaun mualaf, dermasiswa dan sokongan moral menjadi antara faktor penting kejayaannya.

Untuk rekod, Malik merupakan lepasan Universiti Terbuka Malaysia dan dibebaskan dari penjara selepas menerima pengampunan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda pada Disember 2024.

Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

2026-02-06 12:22:46

Disaran Pakai IC Untuk Elakkan 'Scalper' Rembayung, Jawapan Khairulaming Buat Ramai Terfikir - "Tak Semua Tahu.."

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...