Masalah yang sering dialami oleh kaum wanita terutama yang bergelar suri rumah pastinya berkaitan peralatan memasak yang sudah tidak seperti sewaktu awal dahulu. Paling penting kerak belakang kuali dan periuk yang sudah semakin tebal membuatkan peralatan memasak nampak tidak sempurna.
Ada sesetengah orang yang masih belum mengetahui terdapat cara mudah untuk menyelesaikan masalah kuali hitam. Kiriman pemilik akaun Facebook, Kila Aurora telah berkongsi petua berguna untuk menyelamatkan kembali kuali di rumah. Ternyata hasil yang ditunjukkan amat berkesan dalam mengembalikan kuali lama seperti baru.
Guna rendaman lemon dan baking soda
Percaya atau tidak, ramai yang terkejut dengan kuali yang digunakan seorang Youtuber, Sugu Pavithra masih berkilat meskipun sudah tiga tahun digunakan. Kuali tersebut persis seperti kuali baru.
Ambil kuali yang lebih besar untuk merendam kuali hitam di dalam bancuhan lemon dan baking soda. Tiada sukatan yang khusus untuk membuat bancuhan ini dan bergantung kepada kekotoran kerak kuali yang ingin dibersihkan.
Contoh yang disertakan ialah dua biji lemon digunakan untuk sukatan separuh botol baking soda. Sebelum kuali hitam tersebut direndam, panaskan air bancuhan terlebih dahulu sehingga mendidih sebelum ditutup.
Kikis kerak hitam
Untuk hasil yang lebih memuaskan, rendam kuali yang hitam selama dua jam atau lebih. Kemudian, kikis belakang kuali dengan pisau. Kerak akan mudah untuk ditanggalkan dengan cara seperti ini.
Gosok tanpa air
Sekiranya bahagian kerak yang tebal telah tertanggal dengan banyak, boleh mula untuk menggosok belakang kuali menggunakan berus dawai. Petuanya gosok dengan menggunakan sabun mandi jenis buku. Ada juga yang lebih mengesyorkan untuk menggunakan sabun kuning yang boleh didapati di kedai Eco.
Paling penting jangan gosok kuali dengan air dan biarkan kotoran kuali keluar bersama sabun. Bahu dan tangan akan terasa sedikit lenguh kerana perlu menyental lama. Tetapi hasilnya pasti akan membuatkan sesiapa sahaja berasa puas.
Daripada perlu membazir duit membeli kuali baru semata-mata untuk nampak berkilat, cuba dahulu petua ini dan rasai sendiri pengalaman menjadikan kuali sendiri seperti kuali baru.