Misi-misi rahsia, intip mengintip, ejen sulit dan sebagainya seringkali kita tonton di panggung wayang atau pun kaca televisyen. Jarang kita mendengar “true story” yang berkaitan dengan mereka ini di suratkhabar kerana kecekapan pihak terbabit membolehkan segala yang dilakukan kekal rahsia buat selamanya.
Namun begitu, sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa menggunakan kod transponder untuk menyamar sebagai pesawat dari Malaysia secara eletronik sewaktu mengintip pangkalan tentera China.
Perkara itu dilaporkan oleh majalah sains dan teknologi AS, Popular Mechanics yang memetik kata-kata pakar dari China.
>>>Suspected US Surveillance Plane in Disguise as a Malaysian Plane.
On Sep 8, USAF RC-135W (#AE01CE) departed #Kadena for a #SCS mission. Later on the same route appeared a “Malaysian Plane”(#750548), which entered the SCS and patrolled intensively between #Hainan and #Paracels. pic.twitter.com/2dfVy4844n— SCS Probing Initiative (@SCS_PI) September 8, 2020
Pesawat pengintip RC-135W Rivet Joint terbang dari pulau Hainan pada hari Selasa, terbang pada jarak 90 kilometer (km) dari daratan China.
Inisitif Penyelidikan Laut China Selatan, pasukan pakar yang dikendalikan kerajaan China berkongsi paparan skrin mengenai hal itu.
Ia menunjukkan RC-135W berlepas dari Pangkalan Udara Kadena, sebuah pangkalan Tentera Udara AS di pulau Okinawa.
Ia terbang ke arah barat daya, mengikuti rantaian kepulauan Ryukyu, melewati Taiwan, untuk melayari pantai Pulau Hainan.
“Nombor Mode-S Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pesawat, pengecam 24-bit yang diberikan kepada semua pesawat dan disiarkan oleh transponder onboard, adalah AE01CE.
“Pada satu ketika, nombor Mode-S pesawat tiba-tiba berubah, dari AE01CE menjadi 750548.
“Itu nombor ICAO untuk pesawat Malaysia yang tidak diketahui,” lapor syarikat penerbitan dari AS itu lagi.
Fuh. Selama ini serius kami ingatkan perkara sebegini hanya berlaku dalam filem sahaja. Rupa-rupanya memang berlaku secara “real”.
Tiada kenyataan rasmi yang diterima dari kerajaan Malaysia setakat ini.