New Zealand – Seorang juruterbang berasa pelik dan tertanya-tanya mengapa pesawat yang dikemudinya terbang menerusi arah yang salah pada hari sambutan Krismas di sini.
Keganjilan pesawat MAS MH132 yang berlepas dari Auckland, New Zealand untuk ke Kuala Lumpur itu bergerak lebih ke arah selatan disedari oleh juruterbang.
Selepas 8 minit berlepas, juruterbang tersebut kemudian bertindak menelefon menara kawalan di Auckland untuk bertanya kenapa pesawatnya tidak bergerak secara terus ke Malaysia seperti biasa.
Pusat kawalan Auckland Oceanic memaklumkan kepada juruterbang MAS terbabit bahawa pelan laluan penerbangan itu diberikan oleh syarikat Airways, syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan aliran traffic udara di New Zealand.
Dia kemudian mengawal pesawat itu melalui laut tasman untuk kembali ke laluan asal ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, penumpang tidak diberitahu dengan apa yang berlaku.
Seorang jurucakap Airways berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian berlaku.
Pakar penerbangan New Zealand, Peter Clark memuji tindakan juruterbang yang mengemudi pesawat tersebut.
“Juruterbang itu telah melakukan satu kerja yang baik dengan peka akan keganjilan itu, bertanya kepada menara kawalan dan tidak secara membuta tuli terbang dan berakhir di Laut Selatan.“, katanya.