Pesara pegawai bank yang berusia 77 tahun telah mengalami kerugian sebanyak RM15.1 juta selepas diperdaya oleh kenalan sendiri untuk melabur dalam pembelian saham palsu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Rohaimi Md Isa berkata, satu laporan mengenai kejadian itu telah dibuat pada 14 April di Brickfields.
Memetik laporan The Star, mangsa telah didekati oleh seorang kenalan (suspek utama) yang menawarkan peluang untuk membeli saham dalam sebuah syarikat tempatan.
Mangsa dipujuk untuk membeli saham tersebut melalui suspek pertama, yang akan memegang saham itu sebagai pemegang amanah bagi pihak mangsa.
Suspek pertama turut memperkenalkan mangsa kepada rakannya (suspek kedua), yang dikatakan bertindak sebagai ejen pembelian. Beberapa dokumen telah ditunjukkan kepada mangsa bagi meyakinkannya untuk membuat pembelian saham.
Beberapa transaksi kemudian dilakukan antara tahun 2020 dan 2021, dengan sejumlah deposit berjumlah RM15.1 juta dimasukkan ke dalam akaun tiga individu.
Difahamkan pada tahun 2021, mangsa telah meminta agar saham yang dibeli oleh suspek pertama dipindahkan kepadanya dan dia juga meminta bukti pembelian.
Namun, kedua-dua suspek telah memberikan pelbagai alasan dan sering menangguhkan permintaan tersebut.
Akhirnya, mangsa mula meragui kesahihan saham tersebut dan menyedari bahawa maklumat dalam dokumen yang diterimanya adalah palsu dan telah direka oleh suspek.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.