Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib memaklumkan bahawa projek pembangunan International Space Port di Pahang dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Memetik laporan Berita Harian, tapak pelancaran roket antarabangsa pertama di Asia Tenggara itu dijangka membuka 2,350 peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan dan penyelidikan.

gambar hiasan
Dari segi kelebihan, saya dimaklumkan antara kawasan tapak yang optimal (dibangunkan) adalah di garisan Khatulistiwa di sekitar pantai timur khususnya Pahang dan Sabah.
Tambahnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah menandatangani surat hasrat (LOI) bersama China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) dan Lestari Angkasa Sdn Bhd pada 15 April lalu bagi menjalin kerjasama strategik dalam pembangunan teknologi angkasa di Malaysia.

PKNP dan Lestari Angkasa Sdn Bhd juga akan mengadakan lawatan kerja ke Wenchang Space City, Hainan, China pada Mei ini sebagai sebahagian daripada kajian kebolehlaksanaan dan kerja merancang pembangunan projek International Space Port di Pahang.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri kini sedang menilai dua cadangan bagi pembangunan bandar aeroangkasa (aerospace city) yang melibatkan kawasan Gebeng di Kuantan dan juga Pekan.
Untuk rekod, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pada Disember lalu menyatakan bahawa Pahang dan Sabah telah disenaraikan sebagai antara lokasi berpotensi untuk pembangunan tapak pelancaran roket membawa satelit ke angkasa lepas.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.