Persembahan Nabila Razali secara langsung di program hiburan MeleTOP pada malam Selasa lepas dipuji netizen yang menyifatkan nyanyiannya menunjukkan peningkatan dan semakin baik.
Nabila yang menyampaikan lagu daripada single terbaharunya berjudul Putus itu mengakui yang dia mengikuti kelas vokal hampir setiap hari bagi memperbaiki mutu nyanyiannya.
Alhamdulillah malam tadi penonton nampak perbezaannya, maksudnya saya dah serap ilmu yang cikgu Shafiq Erwin ajar. Saya akan terus belajar lagi.
Tambah Nabila, dia juga berasa lega apabila persembahan nyanyiannya menerusi lagu baharu tersebut dapat dirasai penonton.
Pada tahun lalu, Nabila menjadi tular selepas ‘terkucil’ apabila sedang menyanyikan lagu Peluang Kedua di pentas yang sama.
Dalam pada itu, Nabila turut mengakui yang dia masih berlawan dengan perasaan gugup ketika berada di atas pentas kerana perasaannya okay sahaja jika dalam kelas belajar tetapi terus berubah apabila naik pentas.
Namun begitu, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali mengatakan yang dia akan melalui proses tersebut dengan sebaik mungkin.
Sekadar info, Nabila baru sahaja melancarkan single berjudul Putus hasil karyanya bersama komposer Singapura iaitu Irwin Purnama dan lirik video lagu tersebut sudah dilancarkan pada 13 November lalu.