Perogol Bersiri Paling Prolifik Britain Dengan Hampir 200 Mangsa Dipenjara 30 Tahun

Trending

Perogol Bersiri Paling Prolifik Britain Dengan Hampir 200 Mangsa Dipenjara 30 Tahun

Seorang perogol bersiri paling prolifik di Britain telah dihukum penjara sekurang-kurangnya 30 tahun setelah memberi dadah kepada 48 orang lelaki sebelum menyerang mereka semasa mereka tidak sedarkan diri di apartmennya di pusat bandar.

Reynhard Sinaga, 36, dikaitkan dengan lebih 190 mangsa yang berpotensi—dengan 70 orang lagi masih belum dikenal pasti. Dia berkeliaran di jalanan Manchester awal pagi untuk memburu pemuda yang mabuk dan seorang diri berdekatan kelab-kelab malam di rumahnya.

Advertisement

Berlakon seolah-olah dia baik hati dan ingin membantu, lelaki berbadan agak sasa itu menawarkan kepada mangsanya untuk mereka tidur di tilam di atas lantai rumahnya sambil menjanjikan lebih arak dan kemudian memasukkan dadah GHB ke dalam minuman mereka.

Gambar: Sinaga di mahkamah

Mangsa-mangsanya—kebanyakannya heteroseksual—hanya dapat mengingat sedikit sahaja atau tidak ingat langsung apa yang berlaku dalam jam-jam selepas itu, di mana Sinaga merakamkan aksinya menyerang mereka secara seksual dalam bentuk video.

Ramai dari mereka kemudiannya meninggalkan flat Sinaga dalam keadaan tidak menyedari apa yang telah dilakukannya pada mereka. Juri di Mahkamah Manchester Crown diberitahu bahawa Sinaga bercakap besar mengenai salah seorang mangsanya dalam panggilan telefon kepada seorang rakan, sambil menggunakan perenggan dalam lirik lagu Little Mix, Black Magic: ‘Take a sip of my secret potion, I’ll make you fall in love.’

Hari ini dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan terma minimum 30 tahun. Hakim Suzanne Goddard QC memberitahu Sinaga:

Kamu seorang pemangsa seksual bersiri yang jahat, memangsakan pemuda yang datang ke bandar yang hanya ingin berseronok dengan rakan-rakan.

Salah seorang mangsa kamu menggelar kamu ‘raksasa’. Skala dan keseriusan jenayah kamu mengesahkan keterangan ini sebagai tepat.

Hakim menambah:

Jarang sekali mahkamah melihat kempen rogol seperti ini, melibatkan terlalu ramai mangsa untuk tempoh yang begitu panjang.

Dia memberitahu mahkamah bahawa skala sebenar jenayah Sinaga mungkin takkan diketahui tetapi polis telah mengesan bahawa 195 orang lelaki telah divideokan oleh defendan semasa mereka berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hakim Goddard menambah lagi:

Sungguh ironis bahawa jika tidak kerana video  yang kamu  rakamkan sendiri, mungkin jenayah kamu takkan diketahui, apatah lagi dibicarakan di mahkamah.

Perbuatan kamu menunjukkan kamu individu yang berbahaya dan tidak mempunyai kesedaran tentang realiti.

Dalam penghakiman saya, kamu sangat berbahaya, licik dan penuh helah, dan tidak selamat untuk kamu dibebaskan. Kamu juga tidak menunjukkan sedikit pun penyesalan, dan ada kalanya kamu nampak terhibur dengan proses perbicaraan.

Sinaga telah didapati bersalah atas 159 pertuduhan jenayah yang dilakukan antara Januari 2015 sehingga Mei 2017. Maklumat mengenai kes itu—pendakwaan kes rogol paling besar di Britain—kini dilaporkan setelah sekatan melapor ditarik selepas empat perbicaraan berbeza dalam tempoh 18 bulan.

Gambar: Sinaga dalam rakaman CCTV, turun dari flat untuk mendekati mangsanya.

Sinaga mendakwa pertemuan dengan mangsa-mangsanya berlaku secara sukarela, mendakwa mereka yang mendekatinya di jalanan sebelum menemani dia balik ke flat dan mereka hanya berlakon ‘mati’ semasa permainan seks.

Dia mendakwa semua mangsanya bersetuju dirakamkan dan mereka berdua tidur bersama di lantai kerana dia tidak mahu mengotorkan katilnya.

Tetap dalam video tersebut menunjukkan ada antara mangsanya yang tidur berdengkur sewaktu dirogol.

Warganegara Indonesia itu kini didapati bersalah atas 136 pertuduhan rogol, 13 pertuduhan menyerang secara seksual, lapan pertuduhan cubaan merogol dan dua pertuduhan menyerang dengan melakukan penetrasi.

Flat Sinaga berada di lokasi yang memudahkan dia menyasarkan mangsa-mangsanya dari tempat tinggi dan letaknya hanya bersebelahan dengan sebuah kelab malam.

Terlebih dos dadah GHB mungkin boleh menyebabkan kematian kepada mangsanya tetapi Sinaga sanggup mengambil risiko itu asalkan nafsunya dapat dipuaskan. Sinaga juga turut menyimpan trofi dari perbuatan jenayahnya—seperti mengambil jam tangan dan dompet mangsa, memuat turun media sosial mangsa dan mengambil gambar mereka dalam keadaan tidak berpakaian.

Gambar: lokasi Sinaga sering menyerang mangsanya.

Mahkamah diberitahu bahawa kesemua mangsanya yang berusia akhir belasan tahun dan awal 20-an—enggan mengetahui apa yang dilakukan olehnya pada mereka apabila dijejaki polis. Sesetengah dari mereka enggan memberitahu ahli keluarga atau rakan rapat mengenai Sinaga.

Salah seorang mangsanya berkata:

Malam itu hanya salah satu malam di mana saya keluar berseronok dengan rakan-rakan . Apa yang saya tak tahu ialah ada raksasa menanti untuk mengambil kesempatan ketika saya dalam keadaan mabuk.

Saya ingin Sinaga mengakui apa yang dilakukannya kepada saya dan menunjukkan penyesalan tetapi saya rasa itu takkan berlaku.

Salah seorang dari mereka pula berkata:

Saya benar-benar ingat dia ingin tolong saya. Itu silap saya yang paling besar. Hari saya diberi bukti perbuatannya ialah hari paling sukar dalam hidup saya.

Saya ada mesej buat kamu, Sinaga. Saya takkan benarkan kamu rosakkan hidup saya. Saya akan penuhi perancangan kerjaya saya dan hidup gembira.

Asisten Ketua Konstabel Mabs Hussain, dari Greater Manchester Police (GMP) berkata:

Tidak banyak diketahui mengenai Reynhard Sinaga sebelum mangsanya yang terakhir memberitahu polis mengenai apa yang berlaku kepadanya. Dia tidak pernah ada dalam pemerhatian GMP mengenai apa jua kejadian jenayah.

Kepada masyarakat, dia ialah seorang anggota komuniti yang prihatin dan sedang belajar untuk kelayakan PhD dan hanya bersosial dengan kumpulan kecil rakan-rakan yang patuh undang-undang.

Bagaimanapun, di sebalik semua itu dia ialah  penjenayah seks bersiri, dan kami percaya dia kini ialah perogol Britain paling prolifik.

Hakikat bahawa dia berjaya menyembunyikan jenayahnya untuk tempoh yang lama hanya mengesahkan sifatnya sebagai seorang penjenayah yang nekad dan tidak ada belas kasihan.

 

amazingnara.com via Metro UK

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...