Perodua baru-baru ini melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka, dikenali sebagai QV-E, pada harga RM80,000 sekali gus menjadi pencapaian penting dalam usaha menyokong agenda nasional membangunkan ekosistem EV di negara ini.
Pelancaran rasmi disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dalam ucapannya, Anwar meluahkan rasa bangga dengan kejayaan Perodua menghasilkan EV pertama mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh MITI.
Bila Tengku Zafrul mengusulkan hala tuju pada September 2023 untuk Perodua siapkan unjuran EV, saya sedikit gusar.
Matlamat itu bercita-cita tinggi… mungkin tak cukup kemahiran tempatan. Tapi ini sangat membanggakan, bukan sahaja pelancaran EV, tetapi ia dihasilkan dengan kepintaran dan kegigihan anak tempatan.
Pelaburan RM800 juta & kapasiti pengeluaran meningkat
Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, memaklumkan bahawa pembangunan QV-E melibatkan pelaburan besar sebanyak RM800 juta dan dipasang sepenuhnya di kemudahan pengilangan terbaharu Perodua, Smart Mobility Plant.
Setakat ini, Perodua mampu menghasilkan 500 unit sebulan, namun jumlah itu dijangka meningkat kepada 3,000 unit sebulan menjelang suku ketiga 2026.
Spesifikasi utama QV-E
Model QV-E hadir dengan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 52.5 kW, mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 445 km (NEDC) — bergantung kepada gaya pemanduan, keadaan jalan dan suhu persekitaran.

QV-E juga dilengkapi ciri keselamatan moden termasuk sistem Child Presence Detection, yang mengesan dan memberi amaran jika terdapat kanak-kanak tertinggal di dalam kenderaan.
Pelancaran QV-E menandakan langkah penting buat Perodua dalam peralihan menuju mobiliti hijau, sekaligus membuka lembaran baharu industri automotif negara dalam segmen EV mampu milik.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

