Baru sahaja dilancarkan namun Perodua Bezza 2020 sudah pun menerima sebanyak 10,000 tempahan yang mana 8,000 daripadanya sudah dibuat sejak tahun lepas lagi. Tempahan yang dibuat untuk model Perodua Bezza ini akan mula diserahkan pada pelanggan bermula bulan ini. Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) baru sahaja melancarkan model tersebut secara rasmi semalam.
Baca: Perodua Axia 2019 Hadir Dalam Enam Varian Dengan Rekaan Seakan SUV
Model Perodua Bezza 2020 dilancarkan dengan harga bermula pada RM34,580 hingga RM49,980 seunit. Untuk bulan Januari ini, Perodua akan menyerahkan 5,600 unit Perodua Bezza 2020 kepada pelanggan yang mana penyerahan pertama bermula pada hari ini.
Perodua Bezza 2020 didatangkan dalam varian 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 AV AT menawarkan gaya kontemporari dan teknologi keselamatan canggih dengan pakej kompak.
Model sedan ini juga turut menawarkan kecekapan bahan api, kebolehpercayaan, ruang yang luas, praktikaliti, mudah dipandu dan kos pemilikan rendah. Selain itu, Perodua Bezaa 2020 tampil dengan lampu hadapan LED yang terdapat pada semua varian, juga bumper hadapan dengan rekabentuk baru.
Kelainan atau perubahan terbesar untuk model kali ini yang mendapat perhatian ramai, sudah semestinya penyertaan sistem keselamatan yang lebih baik dimana kesemua varian Bezza 2020 bakal dilengkapi dengan sistem brek ABS dan EBD.
Didatangkan dengan enam pilihan warna iaitu Garnet Red, Granite Grey, Sugar Brown, Ocean Blue, Glittering Silver dan Ivory White. Terdapat empat varian yang ditawarkan pada harga RM34,580 untuk varian 1.0 G Manual, RM36,580 untuk varian 1.0 G Automatik, RM43,980 untuk varian 1.3X manakala RM49,980 untuk model paling premium 1.3 AV.