Usahawan dan pengasas jenama Elrah, El Azman tampil menjawab dakwaan yang tular di platform Threads kononnya perniagaan baju Melayu miliknya bakal mengalami kerugian selepas mengambil pelakon Fattah Amin sebagai duta.
Menafikan spekulasi tersebut, El menjelaskan bahawa perniagaannya sebenarnya menunjukkan prestasi yang sangat baik, malah mencatat peningkatan ketara selepas melantik beberapa figura terkenal sebagai duta jenama.
Selain Fattah Amin, jenama Elrah turut bekerjasama dengan beberapa personaliti popular lain seperti jaguh Muay Thai Johan Ghazali, penyanyi Joe Flizzow, pempengaruh Aya Balqis serta pemain bola sepak Arif Aiman.
“Tidak sama sekali. Kalau sebelum ini kita tengok dekat Threads ada yang cakap Elrah bakal berdepan kerugian teruk tahun ini sebab ambil Fattah Amin sebagai duta.”
“Tapi ia tidak berlaku. Elrah tahun ini mencatat keuntungan yang lebih besar berbanding tahun lalu.”
“Untuk pengetahuan, tahun ini kali pertama jualan butik kami meningkat 100 peratus sepanjang lima tahun beroperasi. Duta yang diambil ini semuanya memang hebat,” katanya.
Menurut El, pemilihan duta yang tepat memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama tersebut.
Mengulas lanjut mengenai personaliti Fattah Amin, El menyifatkan pelakon itu sebagai seorang individu yang mudah bekerjasama selain memiliki pengaruh tersendiri dalam kalangan peminat.
“Fattah ini mempunyai penyokongnya yang tersendiri. Apabila saya umum sahaja dia sebagai duta, memang ramai yang sokong dan beli baju Elrah.”
“Dia (Fattah) memang seorang lelaki yang baik. Kalau sebelum ini Elrah kena boikot, tapi disebabkan ambil Fattah, orang sudah tidak lagi boikot.”
“Memang senang bekerjasama dengan Fattah ini,” ujarnya.
Perkongsian tersebut sekali gus menepis tanggapan negatif segelintir pihak serta membuktikan strategi pemasaran yang digunakan memberi impak positif kepada perkembangan jenama Elrah.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

