Seniwati Ramlah Ram yang terkenal dengan lagu Kau Kunci Cintaku dan Sesaat Kau Datang mengimbau kembali momen-momen yang pastinya sukar dilupakan ketika berhadapan dengan sesetengah peminat fanatik.
Ramlah Ram yang sudah lebih hampir 30 tahun berada dalam dunia seni sudah pasti mempunyai banyak kenangan dalam bidang hiburan ini.
Menurutnya, ada ketika dia dihadiahkan dengan barangan berunsur mistik , diekori sampai ke rumah malah mengaku sebagai suami adalah antara kenangan yang sukar dilupakan.
Ramlah Ram yang ditemui Media Hiburan berkata, dia pernah menerima hadiah misteri seperti labu sayong yang dibalut dengan kain kuning daripada peminat rahsia.
“Apa yang masih saya ingat, bila buka hadiah di rumah, saya lihat ada pemberian labu sayong yang bertutup dengan kain kuning. Disebabkan takut, saya tak jadi nak buka,”
Mengenangkan budaya dan perkara mistik yang mungkin terjadi, seniwati ini tidak sekali-kali menerima hadiah sebarangan dan sentiasa mengamalkan ayat-ayat Al-Quran untuk memohon perlindungan daripada Allah S.W.T.
Malah, dirinya juga pernah didakwa sudah berkahwin dan mempunyai anak. Ini berikutan ada individu yang telah melayangkan surat palsu kepada syarikat media yang mengatakan bahawa individu tersebut merupakan suami kepada Ramlah Ram.
“Isu tersebut kecoh diperkatakan gara-gara individu tersebut melayangkan surat kepada syarikat media dan mengaku sebagai suami saya. Sehingga kecoh jadinya!”
Bercerita dengan lebih lanjut, ada juga peminat yang menunggu dirinya di kampung, singgah dan mengelilingi rumah setiap petang dan sentiasa menghantar bunga kepadanya. Dalam pada masa sama, Ramlah turut berkesempatan mengucapkan terima kasih di atas pemberian setiap apa yang diberikan peminat kepada dirinya.
Dalam perkembangan lain, dia kini baru sahaja melancarkan single berjudul Masar Cinta hasil ciptaan Allahyarham Suzaimi Soaib.
Sumber : Media Hiburan