Bekas bintang Akademi Fantasia 8 (AF8) yang kini bergelar penyanyi, Daus Eli mengakui dirinya mengalami depresi akibat daripada kemelut yang terjadi akibat penceraian dengan bekas isterinya pada Februari tahun lalu.
Dalam pada masa yang sama, Daus dilaporkan tertekan disebabkan oleh netizen yang sering melemparkan pelbagai kata-kata fitnah dan nista seolah-olah hidup bersama dia dan isteri dalam perkahwinan yang dibina sejak tahun 2013 itu.
Ketika ditemui media, dia yang kini terbuka untuk menceritakan suka duka kehidupannya selepas tempoh penceraian turut mengakui pernah terfikir untuk mengambil nyawa sendiri akibat tekanan dan depresi.
“Saya tak minta semua ini terjadi pada diri saya.Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah S.W.T. Ketika saya berada dalam depresi, pernah terdetik tak nak hidup lagi di dunia ini. Tapi syukur ada ibu bapa, adik beradik dan keluarga yang beri sokongan. Malah disebabkan mereka sayaa bangkit untuk teruskan kerjaya dalam bidang muzik,”
Daus kini berkata dia tidak mahu lagi mengimbau kenangan lalu dan menoleh ke belakang. Pemilik nama Muhd Shahril Firdaus Eli ini dilaporkan bakal tampil dengan single terbaru berjudul Takdir Kita hasil ciptaan Daus sepenuhnya dan bakal diterbitkan oleh syarikat rakaman Nova Music.
Menurutnya, single tersebut merupakan luahan isi hatinya terhadap apa yang terjadi sepanjang dua tahun dia bergelut dalam masalah rumah tangga bersama bekas isteri, Syaza Shamimi Jalaludin Khan.
“Lagu ini mengenai lelaki yang mengharapkan sesuatu daripada wanita yang pernah dicintai suatu ketika dahulu. Memang benar ianya berkaitan dengan bekas isteri saya, lagu ini dibuat dua tahun lepas sebelum saya bercerai. Pada waktu itu saya sudah depresi, tak ada semangat dan kecewa, jadi lagu ini ikut mood ketika itu,”
Daus turut memberitahu dalam tempoh dua tahun itu, netizen tidak habis-habis menghentam dirinya kononnya dia menceraikan isterinya ketika dalam pantang lalu tercetusnya beberapa konflik dalam tempoh tersebut.
Namun kini, Daus sudah mula redha atas apa saja ketentuan daripada Allah ke atas dirinya. Dia yang turut mencari pendapatan sampingan dengan berbisnes turut mendapat penghormatan apabila lagunya telah dipilih menjadi lagu tema bagi drama Aku Yang Kau Gelar Isteri yang bakal ditayangkan di Slot Samarinda TV3, kelak.
Sumber : Media Hiburan