Penyanyi dan usahawan kini, Mila Jirin,32, ada berkongsi mengenai kehidupan lalu yang serba kekurangan dan susah sebelum dia bertekad untuk memperbaiki taraf hidup keluarganya.
Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Binti Jirin berkata, dia terpaksa melupakan impian ke menara gading kerana kehidupan keluarganya yang tidak bernasib baik dari segi kewangan.
Dilahirkan sebagai anak sulung, bekas juara program Akademi Fantasia Musim Ke-5 ini mendedahkan bahawa ibu bapanya dahulu hanya bekerja biasa sebagai pengawal keselamatan dan ketika waktu lapang, turut memungut tin di tepi jalan.
“Saya sendiri ada pengalaman ikut bapa pungut tin. Memang sedih. Ibu pula bekerja di kilang untuk membantu pendapatan bapa bagi menyara kami sekeluarga. Malah pernah suatu ketika atap rumah kami berlubang, bocor dan rosak kerana tak diganti gara-gara tak ada duit. Bila hujan basah satu rumah, dan perkara itu sangat menyedihkan saya,”
Sehubungan itu, dia bangkit dan mengakui pernah bekerja di sebuah kilang sebelum mengambil keputusan untuk menyertai Akademi Fantasia musim ke-5 pada tahun 2007.
Kemudian, Dia yang memperoleh gelaran Juara dalam Akademi Fantasia musim ke-5 benar-benar membantu kehidupan Mila untuk mengubah nasib keluarga.
Dia dalam pada yang sama menyedari bahawa populariti sebagai seorang penyanyi itu tidak akan kekal lama dan mula menyimpan sikit demi sedikit wang yang diperolehi sepanjang kariernya sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Mila yang memulakan perusahaan dalam bidang perkahwinan yang diberi nama Bizmilla bersama suaminya, Isz Mustapha sejak tahun 2013 yang lalu dilaporkan semakin berkembang ke beberapa cawangan di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Mila Jirin juga dikhabarkan bakal memperkembangkan lagi perniagannya dalam bidang perkhidmatan pembelian dan penghantaran makanan secara dalam talian (online) tidak lama lagi.
Sumber: Harian Metro