Wanita ini sering memuat naik video di TikTok yang memaparkan dia makan sayuran dikecam pengikutnya kerana perbuatannya yang kurang disenangi segelintir pengikut TikTok. Bukan sekadar memakan sayuran, wanita itu juga sering dilihat menikmati buah-buahan dan ulaman yang menyelerakan.
“Salah ke bahagia makan sayur?”.
Akaun TikTok yang bernama Norsufiajohari sebenarnya pernah mengalami peristiwa hitam yang tidak mungkin dilupakan. Katanya yang lebih mesra disapa Cik Pia, dia pernah mengalami berat badan yang berlebihan iaitu 98 kilogram semasa belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Bangi, Selangor pada tahun 2014.
“Dulu saya gemuk, rasa tak yakin pada diri sehingga obses untuk kuruskan badan. Saya cuba pelbagai jenis produk…ubat kuruslah, kopi suplemen kurus pun saya ambil”.
Dia yang berusia 34 tahun berkata dia pernah rebah ketika berjalan di fakulti dan dimasukkan ke hospital kerana dos ubat kurus yang berlebihan.
Namun, dia amat bersyukur kerana ajalnya belum tiba dan umurnya masih panjang meskipun keadaannya begitu kritikal akibat ketagihan itu.
“Doktor beritahu kalau saya tak rebah masa tu dan masih ambil ubat-ubat kurus, belum pasti sama ada saya akan ada lagi atau tak selepas itu. Syukur kepada Allah kerana diberikan peluang kedua dan selepas kejadian itu, saya buang segala ubat dan minuman suplemen kurus”.
Dia kemudiannya mendapatkan khidmat nutrisi dan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat. Setelah mengubah cara pemakanan dan melakukan senaman seperti berbasikal, usaha untuk menurun berat badan kepada 55 kilogram berjaya dicapai.
Ia adalah untuk memberi semangat kepada suri rumah untuk berkongsi manfaat nutrisi dengan pengambilan sayuran dan buahan di laman sosial Facebook sebelum dilanjutkan ke akaun TikTok.
Beliau menjelaskan terdapat sayur yang boleh dimakan mentah, termasuk yang perlu atau dimasak secara stim sebelum dia membuat video di TikTok.