Menjadi perhatian netizen baru-baru ini apabila anak lelaki sulungnya Aarit Rayyan Rizqin mengimamkan solat sunat Aidilfitri di rumah mereka pada Syawal lalu, pelakon Rita Rudaini zahir rasa syukur.
Menurut Rita, beliau menyedari dirina bukanlah seorang ibu yang sempurna namun tetap akan sentiasa memastikan anak-anaknya tidak leka dengan kehidupan dunia. Malah tetap mahukan kedua-dua cahaya matanya itu menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup mereka.
Tambah Rita lagi, beliau yang pernah menempuh zaman leka itu telah mendidik anaknya supaya tidak mengikuti jejak langkahnya dahulu kerana tidak mahu mereka berasa rugi di hari tua andai dipanjangkan usia.
Rita yang tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai ibu itu sentiasa mahu anak-anaknya menghormati sesame manusia malah tetap akui yang dirinya sebagai seorang ibu juga merupakan manusia biasa.
“Saya tak nak anak saya leka dengan dunia biar Al-Quran jadi panduan hidup mereka supaya menerangi perjalanan dan dipermudahkan.”
Rita berkongsi perkara tersebut di laman Instagram miliknya dengan memuat naik paparan skrin sebuah artikel mengenai luahannya yang syukur melihat perkembangan anaknya.
Dalam pada itu, Rita turut menegaskan bahawa beliau sendiri banyak belajar daripada pengalaman serta kesilapan lampau malah berharap anak-anaknya tidak melakukan perkara yang sama.
“Pengalaman dan kesilapan adalah pelajaran untuk kehidupan kita yang ke depan. Baik buruk saya dah lalui, semua itu saya bekalkan pada mereka untuk dijadikan sempadan.”
Untuk rekod, Rita telah melangsungkan perkahwinan dengan pemain bola sepak handal JDT, Aidil Zafuan pada tahun 2008, namun kedua-dua mereka disahkan bercerai pada September 2013. Hasil perkongsian hidup itu, pasangan ini dikurniakan dua orang anak iaitu Aarit Rayyan Rizqin dan Airit Qaya Arjuna.