Selamat pagi. Rasanya sekarang ini anda semua sudah mengetahui tentang kontroversi yang sedang melanda blog ini, Shila Amzah dan keluarganya. Semalam, sebuah artikel yang ditulis oleh salah seorang penulis BeautifulNara telah menimbulkan kemarahan Shila Amzah, keluarganya dan juga para peminat. Abang Nara akui tulisan tersebut sememangnya tidak adil, boleh menimbulkan perbalahan dan kalau terjadi kepada diri ini, memang akan rasa marah.
 Sekadar untuk makluman anda semua, BeautifulNara mempunyai beberapa orang penulis yang menyumbang artikel kepadanya. Namun selaku pemilik blog ini, Abang Nara bertanggungjawab untuk memantau setiap tulisan mereka. Namun semalam diri ini agak sibuk dan menyebabkan artikel itu terlepas pandang. Selepas mendapat makluman daripada para peminat Shila Amzah di Twitter dan Instagram, Abang Nara telah membuat tindakan sewajarnya. Selaku manusia biasa, kesilapan dan kekhilafan sebegini sememangnya sering terjadi, lebih-lebih lagi BeautifulNara tiada editor tetap yang memantau. Kami hanyalah blogger biasa-biasa sahaja.
Selain itu Abang Nara juga menerima seadanya kutukan, kritikan dan cercaan daripada peminat Shila Amzah dan juga para keluarga mereka. Memang ia berpunca dari kesilapan diri ini. Di kesempatan ini, Abang Nara menyusun sepuluh jari memohon maaf dan keampunan terhadap semua pihak yang terbabit terutama Shila Amzah dan keluarga. Abang Nara juga telah memaklumkan kepada semua penulis agar sebarang tulis tentang Shila Amzah tidak dikeluarkan selepas ini, sesuai dengan permintaan ahli keluarga penyanyi ini.
 Terima kasih atas sokongan anda selama ini. Manusia sentiasa membuat silap dan Abang Nara adalah seorang manusia. Mohon maaf sekali lagi atas kekurangan diri ini. Semoga perkara yang sama tidak berulang lagi di masa hadapan.
P.S: Abang Nara tidak membalas kenyataan di laman sosial kerana menganggap ia akan menyemarakkan lagi rasa tidak senang sesama sendiri. Semoga dengan artikel ini ia mencukupi untuk pihak yang terbabit memaafkan diri ini. Terima kasih.