Sebuah video lama penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Maia Estianty, memanjat pagar rumah bekas suaminya, Ahmad Dhani, demi bertemu anak sulung mereka, Al Ghazali, kembali menjadi tular di media sosial sejak semalam.
Rakaman berdurasi sekitar satu minit itu dipercayai dirakam pada tahun 2008, memaparkan detik menyentuh hati apabila Maia nekad memanjat pagar kediaman Dhani semata-mata mahu menyambut ulang tahun kelahiran Al yang ketika itu baru berusia 11 tahun.
Difahamkan, ketika itu Maia tidak dibenarkan bertemu ketiga-tiga anak lelakinya Al Ghazali, El Rumi dan Dul Jaelani berikutan kemelut rumah tangga dan perceraian yang berlaku antara dirinya dan Ahmad Dhani.
Dalam video berkenaan, Maia dilihat ditemani beberapa individu dan meraikan hari lahir anaknya tanpa kek, hanya dengan pemetik api sebagai ganti lilin. Selepas lagu ulang tahun dinyanyikan, Al meniup api kecil dari pemetik tersebut.
Situasi menyentuh perasaan itu meraih simpati ramai, termasuk kalangan selebriti dan pengguna media sosial yang memuji ketabahan Maia sebagai seorang ibu.
Untuk rekod, Ahmad Dhani dan Maia bercerai pada 2008 selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga. Perceraian mereka pernah menggemparkan industri hiburan Indonesia kerana melibatkan perebutan hak penjagaan anak dan isu orang ketiga.
Kisah itu kembali mencuri perhatian selepas beberapa video majlis adat perkahwinan Al Ghazali dan Alyssa Daguise tular, memperlihatkan keluarga tersebut kembali berkumpul dalam suasana harmoni.
Maia juga sebelum ini pernah berkongsi bahawa pengalaman dipisahkan daripada anak-anak merupakan antara detik paling mencabar dalam hidupnya.
Ketika itu saya tak tahu nak buat apa. Saya cuma mahu peluk anak saya di hari jadi dia.
Penampilan Maia di majlis perkahwinan Al baru-baru ini turut mendapat pujian ramai yang menganggap beliau sebagai simbol ketabahan dan kasih sayang seorang ibu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.