Seramai 4.37 juta pekerja akan menerima gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan, meningkat daripada RM1,500 sebelum ini, susulan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu yang berkuat kuasa secara rasmi hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, perintah ini terpakai kepada majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya lima pekerja serta majikan dalam sektor profesional, tanpa mengira jumlah pekerja yang mereka ambil.
Bagi majikan dengan kurang daripada lima pekerja, perintah ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Ogos depan, bagi memberi mereka tempoh mencukupi untuk menyesuaikan struktur gaji dan operasi syarikat.
Semua majikan diwajibkan mematuhi Perintah Gaji Minimum ini dan memastikan pekerja menerima gaji pokok sekurang-kurangnya RM1,700 sebulan. Kegagalan mematuhi perintah ini merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menjelaskan bahawa pelaksanaan Perintah Gaji Minimum merupakan salah satu langkah utama kementerian dalam meningkatkan pendapatan pekerja. Selain itu, kementerian turut melaksanakan Dasar Gaji Progresif dan memperkukuh latihan kemahiran bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan pekerja.
Namun, KESUMA menegaskan bahawa kadar gaji minimum ini tidak seharusnya dijadikan penanda aras bagi gaji permulaan semua pekerja, terutama siswazah dan pekerja berkemahiran, yang sepatutnya menerima gaji setimpal berdasarkan kemahiran mereka.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum ini sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan ekonomi, bertujuan memastikan rakyat memperoleh pendapatan yang lebih bermakna untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.