Biskut daripada jenama Hup Seng dan roti Gardenia antara makanan yang cukup sinonim dengan rakyat Malaysia. Bukan sahaja menjadi snek kegemaran rakyat Malaysia, kini ianya juga menjadi aksesori fesyen yang menarik perhatian ramai baru-baru ini.
Seorang pereka fesyen di Johor berjaya menghasilkan beg tangan menggunakan plastik bungkusan kedua jenama popular itu. Aksesori daripada Wan’s Handmade ini menjadikan plastik bungkusan itu kepada sebuah beg tangan yang cukup kreatif dengan stail vintage.
Pereka fesyen dari Batu Pahat yang membuat kostum, beg dan anak patung ini menerima banyak pesanan dan komen setelah mempromosikan beg tangan Hup Seng Cream Crackers berwarna kuning di Facebook beberapa hari lalu.
Perkongsian di Facebook itu menerima lebih 4,000 perkongsian yang kebanyakannya berminat untuk mendapatkan beg tangan tersebut. Selain daripada plastik bungkusan Hup Seng Cream Crackers, dia turut menggunakan bungkusan roti jenama Massimo untuk rekaan yang lain.
Berdasarkan perkongsian di Instagram, beg yang dikitar semula ini adalah sebahagian daripada projek yang dinamakan sebagai Plastic Reborn Project yang memberi kehidupan baru kepada sampah. Dia mengumpulkan bungkusan plastik terpakai dan memberi mereka identiti baru dengan tujuan baru.
Graduan daripada Singapore’s Nanyang Academy ini memberitahu beg plastik daripada Plastic Reborn Project ini berharga dari RM79 ke atas sementara ciptaannya yang lain dijual antara RM15 hingga RM200.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.