Pelancong yang berkunjung ke pulau peranginan Langkawi tampil meluahkan rasa kecewa apabila kebanyakan premis menjual coklat import telah kehabisan stok sejak bulan November tahun lalu.
Lapor Kosmo Online, beberapa premis perniagaan bebas cukai di Pulau Langkawi telah membiarkan rak-rak yang menempatkan coklat import kosong dan diisi dengan aneka coklat yang lain, tidak seperti sebelum ini.
Antara jenama coklat import yang terkenal dan menjadi rebutan adalah seperti Daim dan Hershey Kisses.
Maklum seorang pelancong yang ditemui iaitu Saludin Endol,60, yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang berkata bahawa percutiannya kali ini menjadi kurang sempurna berikutan kejadian itu.
“Langkawi sinonim dengan coklat import yang murah, tetapi beberapa kedai yang saya pergi kebanyakannya tiada bekalan. Rasa macam percutian kali ini tidak lengkap kerana tidak dapat memborong coklat import untuk dibawa balik.” ujar Saludin.
Menurut pengusaha kedai bebas cukai yang dikenali sebagai Lim, bekalan coklat import tidak mencukupi itu terjadi akibat masalah bekalan daripada pembekal di Singapura.
“Bekalan coklat import yang diterima terhad walaupun jumlah tempahan sebelum ini tinggi. Keadaan tersebut menyebabkan berlaku kekurangan bekalan coklat import di pulau ini.” jelasnya lagi.