Percayakan Bomoh Dikatakan Terkena Santau, Pesakit Meninggal Dunia Selepas Tinggalkan Rawatan.

Trending

Percayakan Bomoh Dikatakan Terkena Santau, Pesakit Meninggal Dunia Selepas Tinggalkan Rawatan.

Cerita benar rakan Pakar Nefrologi saya yang bekerja di Pantai Timur. Arwah adalah saudara beliau. Baru berumur 26 tahun. Anak kecil arwah baru berumur setahun!

Advertisement

6 bulan lepas, beliau tidak sihat. Kaki bengkak, darah tidak cukup dan macam-macam simptom lagi. Buah pinggang bocor protein, lalu beliau disarankan menjalani ujian biopsi (mengambil tisu buah pinggang). Telah disahkan beliau mengalami SLE dan komplikasi buah pinggang iaitu Lupus Nephritis Class IV.

Semasa itu fungsi buah pinggang masih elok, boleh diselamatkan lagi. Akan tetapi ibu beliau mengambil keputusan untuk berjumpa bomoh.

Bomoh kata ini bukan masalah buah pinggang-ini buatan orang: katanya santau! Aduhai! Sebenarnya rawatan penyakit Lupus Nephritis Class IV ini perlu intensif dan secepat mungkin. Jika ditangguhkan, boleh menyebabkan buah pinggang rosak terus.

Kami para Doktor hanya boleh menggigit jari sahaja bila pesakit ini “lari”. Kami dah masak sudah dan tahu apa akan jadi tidak lama lagi.

Belum pun 3 bulan, beliau terpaksa datang kembali. Badan bengkak keseluruhannya (gambar hiasan). Air pun sudah masuk ke paru-paru dan beliau sudah memerlukan rawatan Dialisis secara kecemasan.

Bacaan creatinine beratus-ratus sudah! Lepas beberapa sesi Dialisis, beliau rasa sihat sikit; lantas tinggalkan kami lagi. Menuju sekali lagi ke bomoh itu? MasyaAllah bukan ke sudah kena tipu sekali; nak pergi lagi? Bagi kami, ini tidak masuk akal. Siapa lah kami, tak akan didengari pun.

Beliau tidak ke mana, duduk rumah.

Badan beliau makin membengkak; ya lah, air terkumpul sebab tidak pergi Dialisis! Selepas beberapa hari, beliau meninggal dunia di dalam tidur. Kami jangkakan disebabkan garam potassium yang tinggi menyebabkan jantung berhenti tidak Dialisis.

1. Fahami SLE

Systemic Lupus Erythematosus (SLE) adalah penyakit kronik auto-imun di mana badan pesakit menghasilkan protein darah dengan banyaknya.

Protin darah yang dipanggil antibodi ini dengan sendirinya memberi tindak balas terhadap tisu seseorang. Punca penyakit SLE tidak diketahui. Ia boleh merebak ke pelbagai organ dan boleh mengakibatkan kematian jika tidak dirawat.

Statistiknya:

Lebih kurang 90% pengidap SLE adalah wanita sementara 10% adalah lelaki dan kanak-kanak. Lebih kurang 90% wanita yang mengidap SLE berada di dalam lingkungan umur boleh hamil iaitu di antara 15 hingga 50 tahun.

Boleh baca: http://lupusmalaysia.org/bm/apakah-sle , sangat menarik laman web ini.

2. Lupus Nephritis, komplikasi buah pinggang hanya dapat diketahui dengan ujian biopsi (mengambil tisu). Biasanya jika protein didalam urin melebihi 0.5gm untuk 24 jam (normal <0.3gm), Doktor akan syorkan ujian ini. Kesihatan buah pinggang akan selalu dipantau semasa rawatan susulan. Jika Class III atau IV (ada klasifikasi Class I sehingga VI), rawatan kemoterapi perlu dimulakan. Boleh bincang dengan terperinci dengan Doktor Pakar anda.

3. JANGAN lari dari kami. Nak pergi bomoh ke apa ke, jangan sekali-kali tinggalkan rawatan hospital! Bawalah sesiapa pun datang ke wad; janji jangan ada asap kemenyan dalam wad atau buat apa-apa yang mengganggu.

4. Suplemen, rerama dan produk baiki sel, teh, kopi bagai TIDAK ada kesan dengan SLE. Ada yang lebih memudharatkan!

Untuk bomoh-bomoh, pawang ke sesiapa yang sewaktu dengannya, tolong lah #JanganKacauPesakitKronik. Pesakit macam ini, penyakit nya sangat serius. Kami perlu memberi rawatan intensif. Secepat mungkin.

Ibunya masih percaya kan arwah disantau. Kami ada penjelasan sientifik, Makcik?. Anak perempuan kecil comel beliau telah kehilangan ibu untuk selama-lamanya.

Ya Allah, kami hanya boleh berdoa peristiwa ini tidak akan berulang dengan pesakit kami yang lain.

Rafidah Abdullah
Pakar Nefrologi
#MedTweetMY

Kredit : Rafidah Abdullah

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...