Perbicaraan kes amang seksual fizikal membabitkan penyanyi, Naim Daniel di Mahkamah Sesyen bermula hari ini dan dijadualkan berlangsung selama tiga hari dengan enam saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan.
Peguam bela, Mohd. Irwan Sumadi memaklumkan saksi pertama yang dipanggil ialah ibu kepada mangsa. Menurutnya, pemeriksaan utama telah selesai dan kini berada dalam proses pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.

“Hari ini, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi iaitu emak kepada mangsa atau pengadu dalam kes ini.”
“Sebentar tadi (tengah hari), pemeriksaan utama sudah selesai dan kini dalam (proses) pemeriksaan balas iaitu giliran pembelaan untuk menyoal balas saksi berkenaan.”
“Buat masa ini, jumlah saksi pembelaan belum kami tentukan lagi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan keadaan Naim sebagai tenang dan tidak tertekan sepanjang prosiding berlangsung.
“Semuanya berjalan seperti dirancang. Beliau (Naim) pun nampak okey, ceria macam biasa, tenang dan tidak nampak tertekan dengan perbicaraan dilaluinya hari ini.”
“Ikutkan, kes ini dijadualkan selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis nanti tetapi kalau tengok situasi semasa, ada kemungkinan tarikh bicara akan bertambah,” ujarnya.
Terdahulu, Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Mengikut pertuduhan, kejadian itu didakwa berlaku di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 19 Mei lalu sekitar pukul 8.56 malam.
Jika sabit kesalahan, penyanyi lagu Sumpah itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
