Perbicaraan 1MDB : Mahkamah Tinggi Putuskan Surat Derma Dari Raja Arab Adalah Palsu

Berita

Perbicaraan 1MDB : Mahkamah Tinggi Putuskan Surat Derma Dari Raja Arab Adalah Palsu

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa empat surat derma dari Arab Saudi yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai asas pembelaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak sah dan palsu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam penghakimannya menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri itu gagal membuat sebarang pengesahan bagi memastikan dana yang diterima benar-benar berasal daripada Raja Arab Saudi ketika itu, Almarhum Raja Abdullah. Malah, surat-surat berkenaan juga tidak pernah dikemukakan dalam bentuk asal kepada mahkamah.

Advertisement

raja arab saudi

Menurut Sequerah, Najib hanya bergantung kepada kepercayaan terhadap pihak kerabat diraja Arab Saudi tanpa sebarang bukti kukuh, termasuk dakwaan bahawa dana tersebut disalurkan secara berperingkat mengikut kehendak Raja Abdullah.

“Hujahan bahawa kaedah penyaluran dana bergantung sepenuhnya kepada Almarhum Raja Abdullah tidak membantu pembelaan tertuduh,” katanya.

Mahkamah berpandangan tindakan mengemukakan surat derma tersebut merupakan cubaan untuk mengesahkan dakwaan bahawa wang yang diterima adalah sumbangan peribadi, sedangkan bukti yang dikemukakan tidak menyokong naratif tersebut.

Sequerah menyatakan demikian ketika membacakan keputusan akhir kes pembelaan melibatkan empat pertuduhan terhadap Najib kerana menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.

Tambah beliau, jejak transaksi kewangan menunjukkan dana berkenaan disalurkan melalui beberapa syarikat persendirian pihak ketiga iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore, yang dikaitkan dengan Eric Tan Kim Loong, sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Mahkamah turut mempersoalkan ketiadaan sebarang pengesahan bertulis atau surat penghargaan kepada pihak keluarga diraja Arab Saudi, yang disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa bagi sumbangan berskala besar.

“Surat derma Arab ini jelas merupakan usaha untuk mengabsahkan dakwaan sumbangan, namun kandungannya gagal menyokong naratif bahawa dana tersebut adalah derma,” katanya.

Sequerah turut merujuk keterangan saksi pembelaan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang mengakui beliau tidak pernah mendengar secara langsung mengenai niat Almarhum Raja Abdullah untuk menyalurkan sumbangan kewangan kepada Najib.

Selain itu, mahkamah turut membangkitkan isu berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk dakwaan bahawa kenyataan tertentu dirakam berdasarkan skrip yang telah disediakan lebih awal tanpa sesi soal jawab sebenar dengan pihak Arab Saudi.

Menurut Sequerah, naratif mengenai sumbangan Arab juga tidak pernah direkodkan dalam minit Mesyuarat Kabinet, sekali gus menimbulkan keraguan serius terhadap kesahihan dakwaan tersebut.

“Najib mempunyai keupayaan dan sumber untuk mengesahkan asal-usul dana itu, namun memilih untuk tidak berbuat demikian. Tindakan ini menjadikan dana berkenaan sangat meragukan,” tegasnya.

Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa dakwaan sumbangan dari Arab Saudi adalah tidak berasas dan dana tersebut sebenarnya berasal daripada 1MDB.

Prosiding ditangguhkan seketika untuk solat Jumaat selepas penghakiman dibacakan selama dua jam setengah, sebelum bersambung pada jam 3 petang. Hakim Sequerah memaklumkan bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya satu jam setengah lagi untuk menyelesaikan keseluruhan penghakiman. – HARIAN METRO

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...