Madu kepada pelakon Miera Leyana, Adibah Abdul Mutalib dilaporkan tidak bersetuju dengan keputusan suaminya, Rosland Othman untuk bercerai.
Sehubungan dengan itu, Mahkamah Rendah Syariah di sini telah mengarahkan kedua-duanya untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan kemelut antara mereka.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Datuk Khairul Anwar Rahmat yang mewakili Adibah membentangkan pengurusan kes itu di hadapan pegawai bertugas.
Adibah, 50, selaku defendan tidak bersetuju dengan tindakan Rosland untuk melepaskannya sebagai isteri pertama.
Anak guam kami berpendapat bahawa ikatan perkahwinan selama 28 tahun ini masih perlu dipertahankan dan perkahwinan tidak sewenang-wenangnya dibubarkan.
Ketika hadir di mahkamah, Rosland dilaporkan ingin melafazkan cerai pada hari yang sama namun dibantah Adibah.
Terdahulu, isteri pertama Rosland itu ingin mempertahankan rumah tangga mereka meskipun perkahwinan mereka dilanda badai sejak dua tahun yang lalu.
Rosland kemudian bernikah kali kedua bersama pelakon Miera Leyana pada Julai 2020 dan telah dikurniakan seorang anak perempuan.