Isu penyewa bermasalah kerana enggan membayar duit sewa rumah bukanlah satu isu yang baru, tambahan lagi dengan keadaan ekonomi semasa yang agak mencabar ini.
Untuk memiliki penyewa yang berkualiti bagi unit pelaburan hartanah seperti rumah juga merupakan satu cabaran kan. Pastinya bukan perkara yang mudah.
Menerusi satu perkongsian video oleh @kimiechannel di TikTok, seorang tuan rumah telah menerima nasib malang apabila dirinya dikurung oleh penyewa bilik di dalam rumahnya sendiri. Difahamkan, penyewa berkenaan tidak membayar duit sewa bilik sehingga tertunggak 3 bulan. Wah, apa kes?
“Sebab dia tak bayar tiga bulan, saya terpaksa lah beli mangga baru,” kata tuan rumah dalam penjelasan video berkenaan.
Ulasnya lagi, tuan rumah terpaksa beri amaran dengan menukarkan kunci rumah yang baru sekiranya penyewa itu masih lagi berdegil untuk tidak membayar duit sewa.
Namun, setelah penyewa tahu perkara tersebut, dia malah bertindak kurang ajar kepada tuan rumah dengan cara menukarkan kunci rumah yang lain pada ketika waktu malam semasa tuan rumah sedang lena tertidur. Fuh!
“Keesokan harinya, saya bangun dalam pukul 6 pagi dan saya terkurung di dalam rumah sebab dia dah tukar mangga kunci yang baharu. Mungkin dia tukar masa saya tengah tidur,” katanya.
Susulan daripada kejadian itu, tuan rumah berkenaan telah menghubungi pihak bomba bagi membantunya membuka pintu rumahnya yang terkunci itu.
Macam-macam hal ya sekarang ni, orang yang bersalah pula nak buat hal lagi. Tak pasal-pasal kena kunci dari dalam.