Penyelewengan 1MDB Lebih Besar Dari Apa Yang Rakyat Malaysia Tahu – Tun Mahathir

Trending

Penyelewengan 1MDB Lebih Besar Dari Apa Yang Rakyat Malaysia Tahu – Tun Mahathir

1mdbscand
Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad berkata lebih banyak penyelewengan telah dilakukan oleh 1MDB dari apa yang diketahui orang awam, dan dia kini sedang berusaha untuk mempercepatkan proses penyiasatan terhadap syarikat yang dipenuhi skandal itu serta apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Mahathir memberitahu pemberita pada Rabu:

Kerajaan akan menghubungi pihak berkuasa Switzerland, Amerika Syarikat, Singapura dan pihak berkuasa lain untuk mendapatkan semula dana yang telah diselewengkan dari 1MDB.

Satu laporan Ketua Pengarah Audit Negara mengenai 1MDB telah diklasifikasikan semula dari dokumen sulit sebagai dokumen terbuka pada Selasa, dan dokumen itu tidak menyebut nama bekas Perdana Menteri. Tetapi melalui laporan itu, penyiasat menekankan rasa prihatin mereka terhadap anomali dalam akaun 1MDB, dan berkata pegawai beberapa kali melaksanakan pelaburan bertentangan dengan keputusan atau tanpa pengetahuan lembaga pengarah 1MDB.

Isu utama ialah korupsi, khususnya 1MDB dan juga wang yang diselewengkan oleh kerajaan sebelum ini. Saya telah diberi taklimat oleh Polis dan Ketua Pengarah Audit, dan memang jelas lebih banyak penyelewengan telah dilakukan dari apa yang diketahui orang awam dan juga saya.

1MDB, ditubuhkan pada 2009 untuk mendapatkan dana projek infrastruktur domestik di mana lembaga penasihatnya pernah dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, tidak mengemukakan akaun pengurusan untuk tahun berakhir Mac 2015 dan penyata bank dari institusi perbankan asing. Pasukan audit memberitahu mereka tidak diberi akses pada komputer, komputer riba dan pelayan (server) 1MDB untuk melakukan pemeriksaan dan menganalisis dapatan mereka.

Secara keseluruhan, pentadbiran korporat dan kawalan dalaman dalam 1MDB adalah tidak memuaskan. Beberapa tindakan pengurusan 1MDB dan keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarahnya dilaksanakan dengan tidak mengikut peraturan.

Laporan audit 1MDB telah dilindungi sejak 2016 menggunakan Akta Rahsia Rasmi. Pendekatan Mahathir untuk membatalkannya dilakukan semasa dia membataskan pergerakan Najib yang telah dikalahkannya dalam pilihanraya yang berlangsung minggu lepas. Siasatan juga dijalankan terhadap beberapa orang pegawai kerajaan lain kerana skandal membabit wang berbilion jumlahnya, hasil keputusan dan tindakan 1MDB sejak beberapa tahun lepas. Mahathir telah menyenarai hitam Najib dari meninggalkan Malaysia pada masa yang sama.

Terdapat desakan yang agresif dalam pentadbiran negara yang baru ini untuk membuka semula siasatan jenayah 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri dan beberapa individu lain. Nizam Ismail, Ketua Amalan Kawal Atur di RHTLaw Taylor Wessing LLP di Singapura:

Sekiranya terdapat jejak transaksi baru yang ditemui di Malaysia, ia akan memberi impak kepada institusi yang terlibat dalam aliran wangnya, di Singapura, Switzerland dan yang seterusnya.

Advertisement

Mahathir yang pernah menjadi mentor dan rakan seperjuangan Najib kini kembali memegang tampuk pemerintahan setelah menjadi Perdana Menteri pada 1981 sehingga 2003, beberapa kali menuduh Najib dalam kempen untuk menjejaki aliran penyelewengan ‘pencuri ’graf 1MDB. Najib menafikan dia melakukan apa-apa kesalahan dan Peguam Negara pada waktu itu juga menyatakan Najib ‘bersih’, manakala 1MDB juga beberapa kali menafikan salah laku telah berlaku.

Skandal 1MDB telah mencetuskan penyiasatan pada skala global apabila para penyiasat mula menjejaki aliran wang dari Switzerland ke Singapura. Jabatan Undang-undang Amerika Syarikat (AS) mendakwa 3.5 bilion dolar dari dana itu telah hilang.

Pembiaya rakyat Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) telah diperintahkan oleh mahkamah AS untuk menyerahkan kapal layar Equanimity miliknya kepada pihak berkuasa AS yang merancang untuk melayarkan kapal itu dari Indonesia dan menjualnya di AS. AS mendakwa, kapal layar itu ialah salah satu dari aset-aset bernilai 1.5 bilion dolar yang telah dibeli oleh Jho Low dan rakan subahatnya menggunakan wang yang diselewengkan dari 1MDB.

Bayaran Hutang

Laporan yang diklasifikasikan semula itu juga menemui bahawa 1MDB menggunakan sehingga RM 288 juta dana kerajaan untuk membayar faedah dari hutang yang telah ia buat, dan ini bertentangan dengan tujuan asal 1MDB ditubuhkan. 1MDB meraih dana berjumlah RM 3.9 bilion dari hutang domestik dan pengeluaran sijil kewangan. Dari jumlah itu, hanya RM 246 juta dilaburkan untuk dua projek hartanah, manakala RM 2.36 bilion lagi dimajukan kepada syarikat tersebut. Mac lepas, 1MDB mendakwa ia mengetahui di mana letaknya kesemua dana tersebut.

Pendakwa raya Switzerland berkata pada Selasa yang mereka mahu bercakap dengan penyiasat di Malaysia secepat mungkin untuk mengkoordinasikan siasatan jenayah terhadap kes penyelewengan yang mengejutkan itu dengan lebih baik.

Pejabat Peguam Negara Switzerland “sangat berminat untuk memperbaharui dialog dengan pihak berkuasa baru Malaysia yang kompeten” dan “dengan sukacita mahu bertukar maklumat antara dua pihak berkuasa secepat mungkin.”

Autoriti Kewangan dan Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura dalam satu e-mel awal Rabu menyatakan, pihak berkuasa Singapura telah turut melibatkan diri. Negara itu telah memberi kerjasama yang ekstensif kepada pihak berkuasa Malaysia mengenai aliran wang 1MDB dan menyatakan kesediaan untuk memberikan bantuan-bantuan lain.

Peguam Negara Switzerland Michael Lauber mengkritik secara terbuka pentadbiran Najib sebelum ini yang kurang memberi kerjasama kepada pasukan pendakwa rayanya .

Singapura telah mengenakan hukuman terhadap beberapa institusi perbankan kerana beberapa kesilapan berhubung 1MDB, merampas aset dan memenjarakan beberapa orang ahli perbankan akibat skandal tersebut.

Diterjemah untuk amazingnara.com dari Bloomberg

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...