Pernah popular dengan lagu Seni Berzaman, To’ki kini dilaporkan mendiami pondok kecil bersama isterinya di pinggir hutan Batu 12 Gombak, Selangor sejak setahun lalu.
Menerusi laporan Astro Awani, To’ki atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur telah membina pondok yang didiaminya itu sejak tiga tahun lalu.
Dia yang kini berusia 53 tahun kini mendiami pondok usang itu ditemani isteri, Sharifah Fairuz Syed Yusof,48, berasa bersyukur jauh sekali mengeluh kerana masih mempunyai tempat untuk berteduh.
“Saya bina pondok ini sejak tiga tahun lalu tetapi dah duduk sini dalam setahun lebih. Walaupun nampak macam ni (serba kekurangan) tetapi saya damai bersama isteri,”
Walaupun dihujani pelbagai persepsi masyarakat mengenai kehidupannya yang seperti serba kekurangan, namun menurutnya, pondok kecil ini seolah sebuah ‘syurga’ buat dirinya dan isteri.
Dibina dengan hasil titik peluhnya sendiri, pondok tersebut mempunyai nilai sentimental yang tersendiri selain menjadi ruang ilham baginya untuk berkarya. Inspirasi untuk menghasilkan lagu baginya tidak pernah padam meskipun penglibatannya dalam dunia muzik tanah air tidaklah begitu memberansangkan.
To’ki juga masih tidak berputus asa dan berazam untuk kembali menyinar walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran dengan pendatang baru.
Dia yang tidak gemar bercerita mengenai kesulitan hidup yang dialami ketika ini bersama isteri kerana enggan orang ramai simpati dan berprasangka buruk terhadapnya.
Namun begitu, To’ki mengakui kediaman yang dihuninya itu serba kekurangan dan perlu ditambah baik. Sudah pasti, ianya memerlukan kos yang tinggi dan To’ki meluahkan dirinya tidak mampu untuk melakukannya.
Dari segi keperluan asas seperti air minuman, To’ki memberitahu dia dan isteri perlu mengangkut air dari sungai berdekatan manakala untuk melepaskan ‘hajat’ juga perlu ke sungai kerana pondoknya itu tiada kemudahan tandas.
Menambah penderitaan, isterinya juga dilaporkan mengalami pergerakan terbatas kerana pernah patah pinggul akibat kemalangan sejak 10 Jun lalu.
Bertanyakan mengenai harapan To’ki, dia berharap supaya mempunyai rezeki yang lebih untuk memasang paip bagi membolehkan bekalan air dipam terus dari sungai ke kediamannya bagi memudahkan urusan harian.
Dia yang kini bergantung harap kepada pendapatan hasil daripada persembahan di restoran atau majlis kecil itu turut berharap nasibnya dalam industri muzik tempatan itu masih ada dalam usaha memperbaiki taraf kehidupannya kini.
Sumber: Astro Awani