Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa pihaknya akan memanggil beberapa selebriti, termasuk artis terkenal, yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang ditumpaskan dalam Ops Sky.
Menurut Berita Harian, dia berkata mereka akan dipanggil pada minggu hadapan bagi membantu siasatan selepas siasatan mendapati sejumlah dana telah digunakan untuk selebriti terbabit, termasuklah menjadi wajah bagi syarikat tersebut.
Daripada keterangan dan semakan kewangan yang diperoleh, selebriti-selebriti ini menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat.
SPRM juga mengesan terdapat bayaran turut dibuat untuk tajaan konsert dan gubahan lagu khas bagi pihak sindiket itu.
Hari ini, media melaporkan Azam mengesahkan siasatan mengenai pembabitan selebriti-selebriti ternama dalam syarikat perunding kewangan berkenaan menjadi antara aspek dalam siasatan Ops Sky.
Siasatan terhadap selebriti tersebut dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu, termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank, oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky, hasil kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM).
Difahamkan, selebriti tersebut dibayar hingga ratusan ribu ringgit sebagai wajah untuk meyakinkan orang ramai bagi menggunakan perkhidmatan mereka.
Turut difahamkan, ada juga antara mereka mendapat bayaran mencecah hingga RM400,000 hanya untuk menjadi duta rasmi.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.