Harith Zazman, penyanyi lagu berentak ‘catchy’ iaitu Cute dilaporkan telahpun mengikat tali pertunangan dengan kekasih hati, Nuramalina Ghakashah dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Serendah, Hulu Selangor, semalam.
Harith menerusi laman sosial Instagramnya telah berkongsikan dua keping foto bersama tunangnya untuk perkongsian dengan peminat.
Turut meluahkan rasa syukur kerana segalanya telah berjalan dengan lancar dan selamat, Harith turut mengatakan akan berkahwin pada tahun ini juga jika tiada aral melintang.
Ditemui media, Harith turut menceritakan detik perkenalan dengan sang tunang yang bermula ketika mereka berdua menjalani penggambaran video muzik lagu Cute sekitar tahun lalu.
View this post on Instagram
“Kami mula rapat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Lee juga membintangi video muzik lagu Cute dan single kedua saya iaitu Tak Tahu. Pada awalnya saya dapat rasakan ada keserasian antara kami. Tak sangka pula keserasian itu membawa kami sehingga ke fasa ini.”
Masih belum menetapkan tarikh perkahwinan, Harith turut memohon doa orang ramai agar mendoakan hasrat mereka mendirikan rumah tangga berjalan dengan lancar dan jauh daripada dugaan.