Pembukaan semula taman tema di Fujiyama memberikan keterujaan kepada rakyat Jepun untuk kembali berhibur. Tetapi pengunjung di salah satu taman tema tersebut diminta untuk menjerit di dalam hati sahaja ketika menaiki roller-coaster bagi mengelakkan penyebaran COVID-19.
Bunyinya seperti mustahil dan sukar untuk dilakukan memandangkan kebanyakan penunggang pasti akan menjerit ketika menaiki roller-coaster. Taman tema Fuji-Q Highland ini telah memuatnaik video di mana dua eksekutif berpangkat tinggi mereka menunggang roller-coaster Fujiyama dengan senyap sepenuhnya.
Ramai yang tidak yakin ianya boleh dilakukan, jadi kedua-dua eksekutif itu telah membuktikannya kepada orang ramai.
Pengendali taman tema Fuji-Q Highland membuat rayuan tersebut kerana bimbang penyebaran virus daripada titisan air liur ketika menjerit yang boleh meningkatkan penularan pandemik itu. Sebelum ini pihak taman tema itu menerima aduan peraturan tersebut mustahil untuk dilakukan.
“Itulah sebabnya kami memutuskan untuk memuatnaik video tersebut.”
Pada akhir video tersebut, pihak taman tema menulis mesej yang menggesa pengunjung supaya “Tolong menjerit di dalam hati anda” dalam tulisan Jepun. Untuk makluman, Jepun antara negara yang tidak terjejas teruk dengan COVID-19 dan tidak melaksanakan penutupan yang ketat seperti negara lain kecuali sektor perniagaan bukan utama.