Semakin melampau! Itulah apa yang kami rasa selepas melihat video menunjukkan seorang penunggang basikal mengikut rapat di belakang sebuah treler.
Kejadian seperti ini sering kali kita lihat dan semakin menjadi-jadi. Apa yang dilakukan mereka amat merbahaya bukan sahaja kepada diri mereka tapi turut melibatkan orang lain.
Terbaru, kejadian ini berlaku di Jalan Kuantan-Gambang selepas seorang pemandu lori mengekori dan merakam seorang penunggang basikal dengan beraninya cucuk angin di belakang treler.
Video ini turut mendapat perhatian pihak polis dan sedang mengesan penunggang basikal terbabit. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai penunggang yang melakukan aksi merbahaya berkenaan.
“Masih ada individu didapati melakukan kesalahan itu seperti video yang tular di media sosial. Penunggang basikal dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya dan tidak melakukan aksi berbahaya bagi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.”
Diharapkan orang ramai menggunakan kelonggaran melakukan aktiviti berbasikal pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara sebaiknya. Jangan terlalu seronok melakukan semua aktiviti sehingga melupakan keselamatan diri sendiri.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara